Pages

Wednesday, 14 March 2012

Cerpen : Kita Bicara Tentang Hak


Oleh:
Nur As-Syuhada binti Amran
Tahun 2 Perubatan
Universiti Ain Shams



     Padat. Tempat-tempat begini memang normal padat begini.Padat dengan manusia seantero bandar Kaherah ini barangkali.Tambah pula, hari ini hari minggu. Hari anak- anak menagih janji daripada sang bapa di gedung teddy bear mega Toys R Us… hari surirumah pun mahu menuntut hak masing- masing sebagai pengatur barang- barang dapur terhebat. Hari remaja- remaja kononnya mahu melepaskan tekanan dengan aktiviti lepak, tipikal remaja.Macam di Malaysia juga.Logiklah pusat beli- belah terbesar di Mesir, City Star ini padat amat.oh, satu sebab lagi! Hari ini 2 Mac… awal bulan. Patutlah!

     Duduk santai menghadap kaunter KFC di Food Court.Mengabaikan hingar- bingar jerit dan gelak tawa manusia yang kian membanjiri ruang makan itu, tangan mencapai HTC dari poket jeans. Ibu jari menyentuh ‘menu’ di skrin, masuk ke ruang  ‘internet application’. Laju, skrin memapar laman ‘saved page’. Hujung telunjuk menolak cursor di skrin ke pautan berwarna biru. Mata fokus pada laman utama blog seorang kenalan maya yang baru saja dibuka di tab baharu.

     Lagi warta dari bumi Syam; Syria. Lagi kisah penyembelihan besar- besaran masyarakat Sunni di Homs.Lagi cerita kebinatangan Bashar al- Asad dan tentera- tenteranya.Saban hari, jumlah umat yang syahid kian bertambah.Barangkali angka- angka kematian bisa diterjemah ke carta palang. Oh, macam mahu buat carta palang markah pelajar lulus di sekolah saja gamaknya! Semudah itu  nyawa melayang di tangan manusia bertopeng iblis, langsung tak punya nilai kemanusiaan.

     Tak cukup pemuda- pemuda, wanita dan kanak- kanak tak terkecuali dalam pelan perancangan kejam Bashar al- Asad.Betapa dia tak punya etika dalam berperang. Oh, terlupa pula, apa golongan syiah nusairiyyah yang jauh terpesong ini maklum dalam larangan- larangan dalam berperang yang ditekan oleh Rasulullah…? Eh, terlupa pula lagi, adakah manusia ini sedang berperang dalam erti kata sebenar? Berperang dengan rakyat sendiri…

     Hari demi hari, jelmaan iblis itu seakan membentuk ‘timeline’ nya yang tersendiri dalam plot penghabisan nyawa manusia. Ah, dunia apakah ini? Terasa macam menelaah hikayat perang zaman Julius Caesar Rom lama…

Bercerita perihal pembunuhan beramai-ramai, aku terfikir-fikir. Apa mungkin pembunuhan beramai-ramai versi Bashar al- Asad ini pembunuhan paling kejam abad ini atau bagaimana? Akal cuba membanding- banding ‘kehebatan’ keluarga Asad ini dengan puak Israel di tanah Syam yang sebidang lagi;Palestin. Cuba juga membanding Asad dengan puak Soviet di Bosnia puluhan tahun lalu.

     Kesemua mereka punya persamaan. Misi membunuh rakyat beramai- ramai.Misi menghapus etnik beramai- ramai dan paling nyata, misi menghapuskan umat Islam secara total. Oh, aku baru tersedar tentang hakikat ini! Ya, Cuma ada satu perbezaan.Keluarga Asad ini mengaku Islam, atas tiket syiah nusairiyyah yang pelik itu.Sedang, Israel juga Soviet nyata bukan Islam.

     Pening dengan puak nusairiyyah dengan cara hidup, cara bergaul, hubungan mereka dengan dunia luar… pening kepala memikirkan kebarangkalian; syiah nusairiyyah sama saja dengan puak Israel?



     Tangan meraup wajah. Kita cakna, kita ambil tahu, kita sama- sama berempati dengan nasib saudara seakidah yang maruah mereka dipijak- pijak oleh kuasa diktator yang zalim persis firaun zaman ini. Tapi, jiwa jadi sakit, hati jadi hiba.

Sampai bila kita hanya mampu menghulur simpati? 
Sampai bila kita harus melihat dari dunia yang sebelah ini pula? 
Sampai bila kita hanya mampu mengatakan, “kita saudara” tapi kita tetap begini…? 

      Terasa malu… malu pada Allah, kudrat yang diberi pinjam kepada seluruh umat Islam seluruh dunia…tetap kita gagal pertahan saudara kita sendiri… malu pada Rasulullah, kehebatan Islam suatu ketika dahulu ranap dek doktrin dan pengaruh kuffar yang halus pada zaman ini. Kuasa dan politik dunia sudah terlerai daripada genggaman Islam, maka kita seakan- akan tidak mampu berbuat apa- apa. Kita tak betah bangkit untuk pertahan hak!

     Ya Allah, wahai Tuhan Yang Menurunkan Kitab, Tuhan Yang Menggerakkan awan, Yang mengalahkan al- Ahzab… kami mohon, turunkan pertolongan Kamu, hancurkan mereka…hancurkan mereka…hancurkan mereka!

Tanpa sedar, berkali- kali qunut nazilah dilafaz… terimalah rayuan kami, hamba yang hina ini, Tuhan!

     Dengan hati yang terbakar juga, baki kemarahan khas untuk sekutu- kutu Bashar al- Asad,aku meneruskan pembacaan. Internet, memang banyak manfaatnya, dunia di hujung ibu jari, kan? Medium suara manusia tanpa sempadan… tak perlu bersusah payah menjadi ‘orang besar’ untuk cakap banyak. Ah, sudah… sudah… ala- ala mengarang karangan bahasa zaman SPM dengan tajuk ‘internet’. 

     Kali ini jemari menolak tetingkap baharu, membuka laman ‘newsfeed’ facebook sendiri. ‘scroll’ di kanan skrin dilarikan ke bawah. Mencari sebarang kemas kini dari Syria daripada status teman- teman ataupun ‘group’ tertentu. Status-status peribadi berkenaan teman yang bakal mendirikan bait muslim dan sebagainya, aku tangguhkan dahulu. 
Ya, belia peduli ummah! Aku memang sedang bersemangat sekarang…

     Gambar terbaharu.Seorang kanak- kanak yang syahid.Sudah terkulai hasil bedilan bom tentera Syria.Aku culas memikir- mikir. Semacam kenal wajah dia…

     Gambar seterusnya.Kanak- kanak yang memegang banner bertulis, “selamatkan anak- anak di Syria”. Oh, Tuhan. Ya, kanak- kanak yang sama! Minggu lalu dia meminta haknya dipertahan, minggu ini dia sudah dijemput Ilahi!



     Gambar lain… gambar manusia disembelih… diulangi, MANUSIA… bukan haiwan korban yang menggelupur selepas urat mari’dan halkum diputuskan… Ah, masih layakkah rejim Bashar al- Asad dipanggil manusia?

     Lagi, gambar kanak- kanak yang tak erti apa- apa tentang hidup. ‘Innocent’ sungguh. Bermain- main di halaman  kampung yang sudah dikelilingi ratusan kubur. Selamba, masih seronok bermain- main, tak gentar langsung… kerana dia tahu, kelak kubur di sekelilingnya itulah tempat yang bakal dia tujui.

     Jemari menyentuh ‘share’. Kekadang, tak semua orang tahu apa yang kita tahu. Apa yang boleh dikongsi, jangan kedekut untuk dikongsikan. Informasi, bukan sukar untuk dikongsi pada semua.Paling tidak pun, biar umum maklum tentang saudara kita di tanah Syam itu. Biar umum maklum dan faham bahawasanya isu Syria bukan propaganda murahan! Biar mereka tahu menilai bahawa dunia mampu menipu selagi media dikuasai kuasa jahat.

     Angkat muka dari HTC di tangan.Sudah puas mengeluh, istighfar. Sambil itu,mata melilau mencari kelibat yang dicari- cari, namun lautan manusia yang ‘zahmah’sememangnya menyukarkan pencarian. Kiri, kanan manusia bertali arus dengan pelbagai ragam.

     ‘ Orang Arab kalau shopping boleh tahan jugak!’ itu komen aku. Tak semena- mena, apa tidaknya, berbondong- bondong beg plastik ‘Spinney’ kuning dibawa sekeluarga!

     Dan, mata aku memang tak beralih saat terpandang 3 susuk akhwat Malaysia yang baru sahaja melintas ‘food court’. Lama, mataku membontoti langkah laju mereka, bukan sebab mereka menjinjing beg plastic berbondong- bondong persis keluarga Arab tadi…. bukan pula sebab wajah mereka pernah aku kenali… bukan juga sebab mereka bertiga berpakat sama- sama melarikan pandangan mereka daripada aku sebaik pandangan kami bertembung tadi …,sengaja aku pandang begitu. Yalah, pandangan aku membawa maksud bahawa aku sedia menjadi musyrif untuk mereka lantaran sekarang jam sudah menunjukkan jam 9 malam… sudah agak lewat juga… sudah 2 jam Isyak berlalu. Oh,akhwat dan musyrif! Isu yang tak pernah selesai dalam komuniti Melayu di Mesir.

“Hai cik abang!”, bahuku ditepuk dari belakang. Meski terkejut dengan sergahan tiba- tiba itu, sengih tetap diukir mendengarkan suara garau yang di’perempuan’kan. Refleks aku menyiku pinggang manusia di belakangku itu.Gelak terbahak- bahak.Aku menoleh.Sah.Fikri. Zahir dan Rem pula tersengih- sengih.Tempat diambil di depanku. 

“Pandang awek- awek tak kelip!” Rem membuat ulasan mudah. 

“Erm, aku terfikir nak mintak kau jadi musyrif dia orang balik.” Mudah juga aku membalas. Terus dia tarik muka. 

“No way!”. Ya, itulah isu dia. Oh akhwat dan musyrif!

     “Lama gila! Barang tak la banyak pun.” Komenku spontan. Fikri yang sedang meneliti resit sepanjang pembaris 15 cm it terus angkat muka. Bulat matanya mencerlung aku. 

“Houh, sumpeq gila kau tahu! Tunggu nak bayaq pun dekat setengah jam…” dan dia terus merungut tentang seorang mama yang bertikam lidah dengan seorang remaja gara- gara memotong barisan di kaunter Spinney… dan aku hanya sengih mendengar perkataan Jawa ‘sumpeq’ (padat) yang kedengaran pelik dalam loghat Kedahnya.

     “Lama lagi tak nasi? Tak sampai- sampai lagi?” soal Zahir sambil mengeluarkan bar Mars dari dalam beg plastik.

 “Jap lagi. Nanti aku ambilkan. Eh, Basyir nak udang solso tu kan?” memang aku sedang menunggu Restoran Panda menyiapkan makanan kami.

     Angguk.

“Maggie?”, beberapa bungkus mi segera berjenama Maggie menarik minatku.
     “Ha’ah…ala, weh.Sekali tak sekala je makan.Lepas ketagih. Inshaallah tak affect otak sangat. ” Zahir menjelaskan sungguh- sungguh, yakin dia bakal dileter.

     “Ni bukan soal kandungan benda tu.Maggie tu muqataah. Macam tak biasa kut makan jenama lain.” Gaya membebel, itu aku sedar.

     “Lorh, rilekslah. Bukan selalu aku beli benda mahal ni. Kau tahu, Maggie ni mana ada jual kat Mesir ni… kan ni brand Malaysia. Malaysia tak tolong Israel sangat kut…” ya, kalaulah dia tahu betapa setiap pelaburan pembelian hatta sebungkus Maggie ini mampu membuahkan untung yang bukan sedikit…

     “Kalau seluruh rakyat Malaysia beli benda ni, tak ke untung Israel tu?”, masih kelihatan berleter, entah- entah sekejap lagi Tuhan buka lorong hidayah dari patah- patah kataku…

     “Ok, ok. Fine. Esok- esok aku beli yang brand Spinney tu je…”, meski ada nada sindiran di situ, paling tidak pun, dia akan selalu ingat bahawa Maggie perlu diboikot!

     “Eh, macam lambat pulak nasi Panda tu. Lapar. Aku beli fries kejap.” Zahir bangkit lalu melangkah laju ke deretan restoran.

     “Haa, claim kan sekali burger aku”, pesan Rem.
     Mata pandang skrin, tapi sempat kukerling resit Rem. McDonald. Dan lenggok Zahir aku perhatikan. McDonald. Kentang goreng dan burger McDonald! Ah,tak lut juga rupa- rupanya bebelan demi bebelan tadi! Mungkin, lepas ni kena tampal logo- logo barang penyumbang kewangan Israel di setiap pintu bilik…

     Duduk bersandar.Perut sudah lapar, makanan tak siap lagi.Perut tambah berkeroncong melihat keluarga Arab di meja sebelah yang sedang menghadap Firakh Masywi. Terus dialih pandangan, dan pandangan jatuh pula pada krim Johnson n Johnson di dalam beg plastic milik anak perempuan keluarga tersebut. Teringat kata- kata kakakku di Malaysia, “Johnson n Johnson ni bau dia memang comel. Budak tak comel pun boleh jadi comel pakai benda ni!” Ah, kalaulah kakak tahu betapa ramai anak- anak comel di Palestin sana yang terkorban dek bedilan peluru- peluru sumbangannya…

     “Basyir mana?”, soal Fikri tiba- tiba. Tangannya laju menyentuh skrin Ipad sebesar buku nota Physiology aku.
“Phone dia kan kena seluk semalam. Tu pergi cari barulah.”Baru aku mahu buka mulut, Rem sudah menjawab terlebih dahulu.

     Dan, semacam diseru- seru namanya, Basyir muncul dari kelompok manusia yang bersesak- sesak.  Muncul dengan beg plastic Nokia di tangan kirinya. 

“haa, panjang usia! Tu dia… Iphone baru! Mai sini aku tengok dulu!” semangat Rem pada setiap model Iphone memang tak pernah luntur. Dan aku duduk memerhati cuma. Ah, sudah. Nokia pula. Memang susah sungguh mahu lari daripada membantu puak- puak Yahudi Israel itu, kan?

“hah, kau mesti ada niat nak mengutuk aku kan??? Itu muqat, ini muqat… peduli apa aku!” Basyir tiba- tiba tinggi suara. Aku terkesima. Terkesima, sebab suara dia memang cukup kuat untuk bikin orang di meja sebelah menghantar pandangan pelik. Terkesima, sebab  tiba- tiba dia menghentam, sedang aku tak suarakan apa- apa pun! 

Dan tersentak juga aku, bila katanya, “peduli apa aku.”

     Aku angkat kening, Fikri di sebelah buka mulut. “Ni kau tiba- tiba emo kenapa???”. Aku diam cuma, tak berniat mahu bikin kontroversi pula di ruang makan umum ini.

Aku pandang Basyir yang sedang meraup wajah. “sorry bro. tak pasal- pasal pulak aku emo…  taklah, aku macam penat. Penat nak dengar segala macam benda.Itu tak boleh ini tak boleh.Kata human right. We’ve right to make our choice kan?” suaranya sudah rendah. 

Aku angguk cuma. Angguk sebagai tanda aku terima kemaafan dia. Angguk juga sebagai tanda aku faham bahawa tak semua orang faham apa yang kita faham. Angguk juga sebagai tanda betapa aku kagum pada dia yang hebat bicara perihal hak.

     Maka, satu soalan yang tidak aku lontarkan di ruang tegang tadi, “ hak saudara- saudara seakidah kita di Palestin, Syria, siapa yang mahu pertahankan? Apa mereka bukan manusia, yang punya hak di atas muka bumi ini???”

     Keluh. Allah jua yang memberi hidayah. Moga Allah sentiasa buka jendela hati kita dalam menerima petunjuk Dia. Moga Allah bantu kita menegakkan Islam di muka bumi dalam  zaman yang dahagakan keadilan ini…

Let's save Syria ! ALLAHU AKBAR!

2 comments:

  1. asyu: kwn sye,ika, nabila yu,aeisyah,hanim :) suke asyu2

    ReplyDelete
  2. asyu memang dari dulu karangan BM A+++
    ayat mantap! ^^

    ni edit sikit. tambah pics. tak silap perubatan pusat buat competition let's save syria e.g. poster, puisi/cerpen..
    Alex bila lagi? hee..cungkil bakat. kadang2 tak perasan kawan2 sekeliling kita ni ramai yg berbakat...hmm

    ReplyDelete